PRN Sabah: Belum ada petanda Musa mahu bersara

0
2

Belum ada tanda, bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mahu berundur dan memberi laluan kepada pihak lain mengetuai kerajaan negeri di bawah bayu itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Musa membayangkan beliau masih mahu menyumbang tenaga dan kepemimpinan untuk mentadbir kerajaan Sabah.

Hasrat Musa itu dapat dibaca menerusi kenyataannya berhubung suntikan idea baharu dalam mengurus politik dan pentadbiran kerajaan.

Musa menjelaskan perkara tersebut mesti diimbangi dengan pengalaman dan rekod pencapaian membanggakan pemimpin sedia ada.

“Dalam menguruskan politik dan pentadbiran kerajaan, adalah penting bagi kita membawa masuk tenaga baharu bersama.

“Suntikan idea baharu itu pula mesti diimbangi dengan mereka yang sudah sedia kaya dengan pengalaman dan mempunyai rekod pencapaian membanggakan.

“Ini akan memastikan pemimpin muda berupaya belajar dan mengaut pengalaman berharga daripada golongan yang lebih awal bertapak,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya hari ini.

Musa menjelaskan beliau berpengalaman mengemudi empat pilihan raya umum dan menjadi Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun.

Jelas beliau, pentadbirannya berupaya menstabilkan dan memacu ekonomi setempat ke tahap membanggakan.

“Sebagai satu pasukan, kami melonjakkan maruah anak Sabah di mata negara, dan tidak ketinggalan ke persada antarabangsa.

“Saya akan biarkan fakta sedia ada menjadi bukti terhadap semua itu,” katanya lagi.

Kenyataan itu dibuat susulan nasihat adiknya yang juga bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, semalam yang meminta agar Musa memberi laluan kepada orang baharu kerana beliau sudah lama berkhidmat.

Anifah yang kini menerajui Parti Cinta Sabah (PCS), berkata, beliau menyayangi abangnya itu, namun sudah sampai masanya untuk Musa berundur dan memberi peluang kepada orang lain bagi menggantikannya.

Musa dalam kenyataannya turut mengalu-alukan penyertaan PCS dalam senario politik tempatan di Sabah.

“Kesemua kami termasuk pelbagai parti yang ada, mungkin mempunyai perbezaan pandangan tetapi kami sepakat dalam satu tujuan iaitu menyelamatkan Sabah daripada pentadbiran yang tidak cekap dan melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Sabah.

“Kita berhak mendapat yang lebih baik. Sabah berhak menikmati suasana yang jauh lebih baik,” katanya.

Musa berkata, matlamat mereka ialah untuk menyelamatkan Sabah sebelum terjerumus ke kancah gelap yang menjejaskan ekonomi, keselamatan dan kesejahteraannya.

“Dalam apa keadaan sekalipun, kita mesti memelihara cara hidup rakyat Sabah, menyelamatkan perlembagaan yang amat dekat di jiwa kita dan mengekalkan keamanan, dengan matlamat mengembalikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa supaya kita mempunyai peluang untuk menyelesaikan kemelut ekonomi yang ditinggalkan oleh pentadbiran Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Ini bukan kisah perjalanan seorang individu. Ini bukan mengenai saya. Ini adalah bagi mereka yang waras berfikir, rakyat yang bekerja keras dan menghormati undang-undang negeri indah dan permai ini. Ini semua untuk anda,” katanya.

Beliau terdahulu menzahirkan harapannya bersama 32 penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyokongnya dalam cubaan mengambil alih kerajaan negeri pada akhir bulan lalu agar keputusan mahkamah berhubung permohonan semakan kehakiman pembubaran DUN pada 17 Ogos ini memihak kepada mereka.

“Dengan hati yang ikhlas, kami berharap mahkamah akan membenarkan semakan kehakiman terhadap keputusan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan DUN, kerana kami berpendapat beliau menerima nasihat yang salah.

“Adalah penting untuk kita semua kekal bersatu dan kekal dengan perjuangan untuk membawa Sabah kembali ke jalan yang benar,” katanya.

Musa mendakwa Sabah akan terus ketinggalan jika Warisan dan sekutunya terus dibiarkan memimpin negeri.

“Laporan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia yang yang diterbitkan pada Ogos 2020 menyatakan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah berada pada paras poling rendah iaitu 0.5 peratus pada 2019, sekali gus membuktikan parti serpihan Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal gagal dalam membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat Sabah.

“Kadar pengangguran berada pada paras 5.8 peratus, terburuk dalam tempoh 20 tahun, bermakna lebih daripada 117,000 rakyat Sabah tidak mempunyai pekerjaan dan dibelenggu kebimbangan ketika menyambut kedatangan 2020 awal tahun ini.

“Ringkasnya, angka besar itu bermakna ramai rakyat Sabah kehilangan pekerjaan, tidak mempunyai pendapatan dan berdepan pelbagai kesukaran bersama keluarga untuk menyara kehidupan. Keadaan ini tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.