Najamuddin Mohd Nor
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini memutuskan agar parti itu membawa usul untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada pilihanraya umum ke-15 pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung bulan ini.
Antara usul lain Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, mesyuarat MKT itu juga sebulat suara setuju untuk membawa usul mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) pada PAU nanti.
“MKT Umno menggesa supaya PRU15 dapat diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, tertakluk kepada keadaan Covid-19,
“Mesyuarat bersetuju untuk membawa usul-usul ke PAU pada 31 Januari 2021, ini bagi dibahas dan diputuskan di peringkat tertinggi parti sebagaimana peruntukan Perlembagaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Mesyuarat MKT Umno malam ini tiada menyentuh parti itu akan menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional, sebaliknya akan menyokong sehingga PRU15 diadakan.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – Malaysiapost

