Nurul Huda Abhar
“TAN Sri Annuar Musa perlu kurangkan berpolitik dan fokus isu rakyat,” kata Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman.
Beliau berkata, setakat hari ini Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan,
masih gagal membentangkan pelan pembangunan Kampung Baru, sedangkan pelan tersedia dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak dilaksanakan atas pelbagai alasan remeh.
“Ramai penduduk dan pemilik tanah masih tertanya-tanya apakah tindakan kerajaan sekarang terhadap pelan pembangunan Kampung Baru.
“Ketika beliau (Annuar) belum menjadi menteri, pelbagai kritikan lantang dilontarkan terhadap pelan tersebut yang direncana oleh kerajaan PH,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Syed Badli Shah berkata, setelah Ahli Parlimen Ketereh itu bergelar menteri, semua yang dikatakan sebelum ini hanya ditinggalkan sepi sebaliknya beliau lebih banyak berpolitik demi mempertahankan jawatan dan kedudukan beliau.
“Saya ingin menyarankan kepada Annuar Musa jika beliau rasa terbeban dengan tugas sebagai menteri, sebaiknya beliau berundur sahaja.
“Justeru itu beliau boleh memberikan fokus untuk terus berpolitik tanpa dibebani perihal rakyat,” katanya.
Hari ini, Annuar mendakwa punca utama beliau dipecat dari jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) kerana percanggahan prinsip dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, tindakan menetang Zahid yang juga Presiden Umno kerana memberi sokongan secara hitam putih kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional adalah antara punca dirinya dipecat. -Malaysiapost

