‘Saya tidak mahu bersubahat dengan hala tuju Zahid’ – Annuar Musa

0
2

BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menerima pemecatannya dengan reda namun berikrar akan terus bersama Umno bagi berjuang atas wadah perjuangan parti dan rakyat.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, perbezaan pendirian antara dirinya dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menuntutnya mengambil ketetapan untuk tidak bersekongkol dengan gerakan yang tidak selari dengan keputusan rasmi Majlis Tertinggi (MT) Umno.

“Dengan perbezaan prinsip ini, saya fikir adalah lebih baik saya tidak bersubahat dengan hala tuju Ahmad Zahid ingin bawakan dan caranya adalah dengan saya tidak lagi menjadi Setiausaha Agung BN.

“Saya lebih bebas bertindak dan membuat pendirian politik saya mengikut hati nurani dan ‘conscience’ saya disaat pendirian yang sedemikian perlu saya lakukan.

“Justeru, saya dengan penuh reda menerima pemecatan ini dan berserah kepada Allah SWT.

“Saya akan terus berjuang atas wadah perjuangan Umno dan terus menyumbnag ke arah Umno yang bemaruah, berintegriti dan kekal memimpin penyatuan ummah yang menunjangi pemuafakatan nasional,” katanya dalam sidang media hari ini bagi menjawab isu pemecatannya.

Ditanya sama ada beliau akan keluar daripada parti susulan pemecatannya, Annuar menegaskan dia masih setia kepada parti dan rekod kesetiaannya kepada Umno boleh dijadikan rujukan.

“Sebab apa nak keluar (parti)? Tiada siapa halau saya pun.

“Dengan pemecatan saya ini, komitmen saya bertambah kerana kalau sebagai setiausah agung saya terikat dengan keputusan parti, namun saya bebas sekarang ini saya akan dapat lebih aktif lagi membantu parti,” katanya.

Terdahulu beliau mendedahkan punca pemecatannya adalah susulan percanggahan prinsip dengan Presiden Umno yang juga Pengrusi BN berdasarkan beberapa perkara, peristiwa dan dasar yang menuntutnya mempertahankan prinsip serta pendirian politiknya secara tegas dan berterus terang.

Antara perkara utama percanggahanya itu adalah:

  1. Sokongan secara hitam putih Ahmad Zahid kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai BN.
  2. Percubaan dan perundingan membabitkan DAP dalam apa yang diistilahkan pembentukan jajaran baru politik.
  3. Percubaan menggugat kestabilan kerajaan PN berkali-kali yang menyebabkan terjejasnya hubungan baik terutamanya antara Umno, PAS dan Bersatu yang merupakan parti teras yang mewujudkan perpaduan Melayu dan Islam.
  4. Situasi ‘flip-flop’ pimpinan khususnya Pengerusi BN dalam perkara-perkara dasar berhubung Muafakat Nasional (MN) sehingga berlaku kesamaran dan kekaburan dalam halatuju MN.
  5. Seruan demi seruan untuk dibubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya dalam situasi rakyat menderita akibat penularan pandemik Covid-19 dan tekanan ekonomi yang sangat berat.
  6. Kegagalan pimpinan mewujudkan keharmonian dan ketertiban dalam parti, dimana berterusan bertelagah secara terbuka telah menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap visi yang dibawa parti.
  7. Keputusan-keputusan parti seperti ‘No DAP’, ‘No Anwar’, sokongan ‘en-bloc’ kepada kerajaan PN dan lain-lain telah tidak dihormati.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here