JPJ ambil tindakan penumpang kenderaan buang ‘saka’

0
2

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan yang penumpangnya mendakwa membuang ‘saka’ ke dalam sungai, semalam.

JPJ dalam kenyataan media berkata pihaknya mengeluarkan notis temu siasat mengikut seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan berkenaan.

“Membuang sampah daripada kenderaan bermotor adalah satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Kaedah 52 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Jika disabitkan kesalahan, hukuman boleh dikenakan terhadap pelaku mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

“Jika sabitan kesalahan kedua didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjara tidak melebihi dua bulan penjara atau kedua-duanya,” katanya.

Pada masa sama, JPJ turut menasihatkan masyarakat supaya tidak menjadikan amalan membuang sampah dari kenderaan kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar serta membahayakan pengguna jalan raya lain.

Malaysiapost sebelum ini melaporkan tindakan seorang wanita yang dipercayai membaling sampah dalam sungai di Kelantan sehingga menimbulkan kemarahan terjawab apabila ia didakwa membuang saka.

Menerusi perkongsian tangkap layar dari individu bernama azmozal di Twitter, keluarga wanita itu mendakwa disuruh oleh perawat tradisional membuang barang saka berkenaan di sungai itu.

“Sebenarnya mereka baru balik dari berubat di Kuala Krai. Pihak mereka disuruh oleh perawat tradisional supaya membuang barang saka itu ke dalam arus sungai mengalir.

“Jadi itu sebabnya mereka membuang bungkusan itu ke dalam sungai,” katanya.

Semalam, video berdurasi 20 saat itu tular dan mendapat kecaman daripada netizen yang mengatakan individu berkenaan tiada kesedaran sivik sehingga sanggup membuang sampah secara terbuka ke dalam sungai. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here