POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah merekodkan keterangan beberapa saksi bagi membantu siasatan berkaitan kes penyeludupan daging yang didakwa dikuasai kartel di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata bagaimanapun Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman perlu diberi ruang dan masa bagi melengkapkan kertas siasatan berkenaan.
“Kertas siasatan sudah dibuka dan kes kartel daging itu sedang giat disiasat. Kita sedang mengumpul bukti, maklumat dan dokumen berkaitan sebelum mengambil tindakan seterusnya.
“Macam biasa seperti dipratikkan sebelum ini, perkembangan lanjut akan diumumkan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed menerusi kenyataan media,” katanya seperti dilapor BH.
Sebelum ini, media melaporkan polis menerima 13 laporan daripada orang awam yang rata-ratanya menzahirkan kegusaran berhubung isu terbabit yang didedahkan media tempatan.
Huzir dipetik berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran orang awam. -Malaysiapost

