Pengundi tak setuju Umno keluar PN

0
1
JERLUN, 2 Mei -- Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersama para peserta membawa bendera UMNO ketika Larian Jelajah UMNO di sempadan negeri Kedah-Perlis sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KAJIAN Merdeka Center mendapati pengundi di negara ini tidak bersetuju Umno keluar dari Perikatan Nasional (PN).

Menerusi kajian itu juga mereka tidak bersetuju Umno bergerak bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Kajian dilakukan pada 23 hingga 31 Disember lalu terhadap 1,202 responden membabitkan pengundi berdaftar berusia 21 tahun ke atas di seluruh negara dengan menemuramah melalui panggilan talian tetap dan telefon bimbit.

Responden tersebut terdiri daripada 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, tujuh peratus India dan masing-masing enam peratus Muslim Bumiputera serta bukan Muslim Bumiputera (dari Sabah dan Sarawak).

Merdeka Center dalam kenyataan berkata, keputusan kajian mendapati 44 peratus pengundi tidak bersetuju Umno keluar dari PN berbanding 31 peratus yang bersetuju dan selebihnya menyatakan tidak tahu atau enggan komen.

Majoriti yang tidak bersetuju itu adalah dari kalangan pengundi Melayu iaitu sebanyak 62 peratus yang mahu Umno kekal bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS.

“Hanya 21 peratus (pengundi Melayu) yang bersetuju Umno keluar dari PN.

“Mengenai pilihan politik pengundi, penyokong Pakatan Harapan (PH) majoriti ingin melihat PN berpecah berbanding penyokong BN,” kata Merdeka Center.

Kajian itu turut mendapatkan respon mengenai sama ada Umno perlu bergerak sendirian menghadapi pilihan raya itu dan rata-rata responden tidak bersetuju sekiranya Umno bergerak sendiri. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here