SELEPAS dua hari hilang dibawa arus banjir akhirnya mayat pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ukai Iskandar Zulkarnain, 23, ditemui pagi tadi di Kampung Gintong di Jerantut, Pahang.
Komander Operasi Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Rosdi Mustafa berkata, mayat mangsa ditemui jam 9 pagi oleh pasukan bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat.
Katanya, Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan sempurna tersangkut pada pokok kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke hospital,”katanya seperti dilapor Kosmo.
Kelmarin seorang kakitangan Pejabat Hutan Jerantut, Zulkarnain Hitam,58, menjadi korban pertama banjir selepas lemas apabila dihanyutkan air ketika meredah banjir di Kampung Gintong di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu mangsa bersama tiga orang anaknya berjalan meredah banjir ke sebuah rumah di Kampung Sokti di sini.
Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kejadian mangsa dan anaknya dihanyutkan arus deras sebelum dia ditemui oleh dua anaknya tidak lama kemudian manakala seorang lagi anaknya hilang dibawa arus. -Malaysiapost

