SELEPAS kira-kira seminggu tidak dapat berniaga susulan tindakan perobohan gerai oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), beberapa peniaga Taman Puchong Permai hari ini kembali membuka gerai.
Rosli Mohd Alias, 49, berkata dia terpaksa membuka gerai roti canainya bagi mencari rezeki kerana sudah seminggu tiada pendapatan.
Menurutnya, dia bergantung sepenuhnya dengan pendapatan menjual roti canai dan nekad membuka gerai hari ini walaupun berisiko dikenakan tindakan oleh MBSJ.
“Syukur ada rezeki saya hari ini dan tidak diganggu oleh pihak berkuasa.
“Hari ini hanya tiga peniaga yang mula berniaga kembali dan saya difahamkan esok lebih ramai akan buka gerai,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Rosli berkata, dia mula membuka gerai kira-kira jam 6.30 pagi dan masih ramai pelanggan membeli sarapan di gerainya.
Menurutnya, beberapa pegawai MPSJ ada membuat tinjauan dan mengingatkan peniaga supaya tidak memotong atau membuka tali larangan yang dipasang sepanjang khemah di tapak gerai berkenaan.
“Saya berharap peniaga di sini dibenarkan berniaga sepanjang tempoh perbincangan dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Jika kami tidak berniaga, tiada punca pendapatan lain bagi meneruskan kehidupan harian,” katanya.
Malaysiapost sebelum ini melaporkan peniaga di Taman Puchong Permai sedikit lega apabila operasi merobohkan gerai mereka oleh MBSJ yang di jangka dilakukan semalam tidak berlaku.
Namun penangguhan itu tidak mampu membantu 43 peniaga berkenaan yang hilang punca pendapatan susulan sudah seminggu tidak dapat membuka gerai dan berniaga.
Susulan itu, sebahagian daripada peniaga berkenaan membuat keputusan nekad untuk kembali berniaga bermula hari ini dan sanggup berdepan dengan tindakan daripada MBSJ. -Malaysiapost

