JUMLAH mangsa banjir di Pahang meningkat apabila seramai 19,527 mangsa daripada 5,198 keluarga kini ditempatkan di 247 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah, pagi ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sehingga 8.30 pagi hari ini berbanding 18,535 orang membabitkan 4,917 keluarga di 235 PPS, petang semalam.
Sebanyak 46 PPS dibuka di Temerloh, diikuti Lipis (40), Raub (38), Maran (38), Jerantut (36), Kuantan (20), Pekan (13), Bera (sembilan) dan Rompin (tujuh).
Maran mencatatkan jumlah mangsa teramai dengan 4,501 orang daripada 1,241 keluarga, diikuti Temerloh (3,383 orang daripada 901 keluarga), Lipis (2,551 orang daripada 675 keluarga) dan Kuantan (2,522 orang daripada 678 keluarga).
Raub pula merekodkan 2,402 orang mangsa daripada 644 keluarga, Jerantut (2,316 orang daripada 570 keluarga), Bera (1,092 orang daripada 410 keluarga), Rompin (1,012 orang daripada 264 keluarga) dan Pekan (430 orang daripada 116 keluarga).
Sementara itu di Kelantan, hujan lebat sejak pagi semalam, menyebabkan tiga daerah di negeri itu kembali dilanda banjir dengan 390 mangsa dipindahkan ke 16 pusat PPS mulai malam tadi.
Tiga daerah berkenaan membabitkan Kuala Krai yang merekodkan 168 mangsa, Tanah Merah (128 orang) dan Jeli dengan 94 mangsa.
Berdasarkan Info Bencana JKM, mangsa banjir di Kuala Krai membabitkan 38 keluarga yang ditempatkan di enam PPS, Tanah Merah (34 keluarga di lapan PPS) dan Jeli pula mencatatkan 43 keluarga di dua PPS.-Malaysiapost

