Covid-19: Pemain badminton negara selamat di Thailand

0
1

BARISAN pemain badminton negara yang berkelana di Thailand berada dalam keadaan selamat walaupun negara itu ketika ini dilanda jerebu toksik, selain perintah berkurung akibat peningkatan kes Covid-19.

Kelmarin, skuad badminton Malaysia tiba di Bangkok untuk menyertai kejohanan antarabangsa pertama mereka sejak Covid-19 melanda dunia iaitu Terbuka Thailand yang bermula 12 hingga 17 Januari.

Ketibaan mereka disambut beberapa siri ujian Covid-19, namun yang paling membimbangkan adalah cuaca buruk di Bangkok.

Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani berkata, jerebu toksik hanya melanda pinggir bandar Bangkok dan tidak membabitkan mereka yang berada di kawasan bandar.

Katanya, semua pemain yang tiba di bandar raya itu kelmarin sedang menjalani proses kuarantin wajib tujuh hari sebaik selepas melakukan ujian calitan.

“Setakat ini memang tiada jerebu di sini. Semua berada dalam keadaan selamat.

“Sekarang kami semua dikuarantin di hotel sama dan menunggu keputusan ujian sebelum boleh menjalani latihan serta melakukan persiapan untuk pertandingan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand kelmarin melaporkan kualiti udara di 17 kawasan sekitar Bangkok mencecah tahap tidak selamat.

Menurut laporan dikeluarkan agensi itu, bacaan menunjukkan terdapat zarah terampai 2.5 bahagian dalam sejuta (ppm) pada 34 hingga 60 mikrogram dalam setiap meter padu (g/m3) udara.

Selain itu, mereka juga akan menjalani lima hingga tujuh ujian calitan Covid-19 secara berkala sepanjang menyertai Terbuka Thailand bagi memastikan keselamatan semua pemain.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here