SITUASI banjir di Johor semakin bertambah baik apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan kepada seramai 3,566 orang setakat pukul 8 pagi, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, keluarga yang terbabit adalah sebanyak 903 buah keluarga.
Katanya, kesemua mangsa ditempatkan di sejumlah 32 PPS yang masih dibuka di seluruh negeri ketika ini.
“Kesemua mangsa yang terjejas adalah dari daerah Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Batu Pahat, Pontian dan Segamat.
“Manakala daerah Kulai, Tangkak dan Muar tidak menunjukkan sebarang rekod terdapat mangsa terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jumlah 3,566 itu menunjukkan pengurangan daripada jumlah mangsa yang direkodkan pada pukul 4 petang semalam iaitu seramai 4,116 mangsa daripada 1,036 buah keluarga.
Sementara itu, situasi berbeza di Terengganu apabila daerah Dungun kembali dilanda banjir dalam tempoh tidak sampai 24 jam apabila dua PPS dibuka kembali malam tadi.
PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serba Guna Kampung Shukor dibuka bagi menempatkan 156 keluarga daripada 49 keluarga.
Tiga PPS iaitu di Kampung Pasir Raja, Dewan Serba Guna Kampung Shukor dan Kampung Minda ditutup jam 10 pagi semalam selepas 154 mangsa daripada 45 keluarga di daerah berkenaan dibenarkan pulang.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata jumlah mangsa banjir di Terengganu ketika ini seramai 267 mangsa daripada 76 keluarga yang ditempatkan di lima PPS di Kemaman dan Dungun.
Beliau berkata, jumlah mangsa banjir di Kemaman juga bertambah apabila 111 mangsa ditempatkan di PPS pagi ini berbanding 82 mangsa setakat petang semalam.
“Semua mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di tiga PPS berbanding 19 keluarga ditempatkan di PPS sama petang semalam,” katanya.-Malaysiapost

