Maut terkena renjatan elektrik ketika banjir

0
1

SEORANG lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika meninjau keadaan banjir di Kampung Paya Kechik, Temerloh, petang semalam.

Kejadian jam 6.30 petang itu disahkan, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman, yang memaklumkan mangsa Isyraf Muhammad, 41, dilaporkan memegang tiang besi di garaj kereta halaman rumahnya sebelum kejadian berlaku.

“Ibu mangsa mendakwa melihat anaknya seperti terkena renjatan elektrik secara tiba-tiba menyebabkan dia terus berlari ke arah anak lelakinya untuk membantu, namun dirinya sendiri tercampak ke belakang.

“Abang mangsa kemudiannya datang membantu dan membawa dua beranak itu ke Klinik Tanjung Lalang, namun Isyraf disahkan meninggal dunia,” katanya seperti dilapor Bernama.

Mohd Yusri berkata ibu mangsa kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan dilaporkan berada dalam keadaan tidak membimbangkan.

Siasatan lanjut dilakukan dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mencari punca arus elektrik.

Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan setakat ini, kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here