Usul pecat Annuar Musa: ‘Tidak bertanggungjawab, memecah-belahkan parti’.

0
2

PEMUDA Umno Bahagian Ketereh kesal dan kecewa dengan usul pemecatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa.

Ketuanya, Saipuddin Mohamad menyifatkan usul dicadangkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Putih itu sebagai tidak bertanggungjawab, terburu-buru, bersifat adu-domba dan bertujuan memecah-belahkan parti.

Beliau berkara, alasan diberikan bagi menyokong usul itu juga bersifat dangkal dan lebih kepada bertujuan meraih publisiti.

“Dengan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip asas parti, Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ketereh menggesa supaya parti menolak usul berkenaan berasaskan beberapa sebab.

“Antaranya, Annuar adalah tokoh yang besar jasanya kepada parti dan memberikan komitmen sepenuh jiwa raganya kepada Umno dan Barisan Nasional sejak hampir empat dekad lalu.

“Sepanjang tempoh itu sudah berlaku pelbagai peristiwa yang menguji kesetiaan ahli-ahli parti namun beliau tidak pernah sekalipun kalah pada ujian itu.

“Walaupun menerima hakikat Tengku Razaleigh Hamzah adalah mentor awalnya dalam berpolitik, tetapi apabila Tengku Razaleigh mengambil langkah-langkah yang merugikan parti, beliau memilih untuk bersama dengan kepimpinan masa itu dan turut berada di barisan hadapan demi mempertahankan Umno,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saipuddin berkata, ketaatan Annuar kepada pemimpin diketahui umum, tetapi ia tidaklah pula sehingga ke peringkat membelakangkan kepentingan parti, sejak dari era Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggalah sekarang ini.

Beliau berkata, Annuar pernah kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) di peringkat parlimen dan negeri, tetapi beliau kekal tidak goyah dan begitu juga apabila tidak dilantik semula menganggotai kabinet, dia menerima dengan baik tanpa melakukan apa-apa yang merugi dan menjejaskan parti.

“Tuduhan oleh Ketua Pemuda Pasir Putih bahawa Annuar seolah-olah menjadi jurucakap Bersatu adalah satu tuduhan yang keterlaluan dan datangnya daripada orang yang tidak faham dengan struktur kerjasama Umno dengan Perikatan Nasional (PN) dan BN.

“Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Annuar adalah bertujuan mempertahankan keputusan parti yang menyokong usaha-usaha perpaduan melalui sokongan ahli-ahli parlimen Umno kepada perdana menteri dan penglibatan Umno dalam Muafakat Nasional (MN). Tidak ada satu pun kenyataan beliau yang terkeluar daripada perkara yang telah diputuskan oleh parti.

“Dakwaan bahawa kenyataan beliau tidak menghormati presiden parti juga amatlah tidak berasas dan yang tidak menghormati presiden adalah sekumpulan provokator dalam Umno yang tidak henti-henti cuba merosakkan hubungan Umno-Bersatu-PAS melalui pelbagai kenyataan,” katanya.

Menurutnya, kenyataan-kenyataan berkenaan adalah termasuk kenyataan yang bersifat menyokong kerjasama dengan PKR dan DAP.

“Oleh kerana Majlis Tertinggi Umno menolak kerjasama seumpama itu, maka cuba menggerakkan kerjasama itu adalah agenda yang bertentangan dengan parti, sekali gus tidak menghormati institusi presiden parti. Mereka inilah sepatutnya diusulkan supaya dipecat,” tegasnya.

Beliau berkata, agama Islam menyeru kepada perpaduan di kalangan umatnya dan tidak ada satu nas atau hadis yang menyebut bahawa berusaha mengukuhkan perpaduan di kalangan umat Islam di Malaysia ini adalah satu dosa, malah ia sesuatu yang mendatangkan pahala.

“Sejak bila menyeru kepada perpaduan, dianggap sebagai kesalahan oleh Umno? Sebagai antara pemimpin barisan hadapan yang terbavit dalam hal-hal berkaitan PN dan MN, Annuar mempunyai hak untuk memberi pandangan, dan pendapat mengenai gagasan-gagasan itu.

“Malah adalah menjadi kewajipannya untuk mempertahankan PN dan MN.

“Semua kenyataannya adalah demi kepentingan PN dan MN, yang didokong oleh Umno, bukannya untuk kepentingan Bersatu dan kesimpulannya, yang berhak berasa tidak gembira dengan kenyataan-kenyataan beliau hanyalah mereka yang tidak menyintai perpaduan Melayu/Islam dan menaruh hati kepada PKR dan DAP; dua buah parti yang agendanya sama sekali tidak menguntungkanMelayu dan Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Saipuddin berkata, atas faktor itu, Pemuda Umno Ketereh mendesak Pergerakan Pemuda Umno Pasir Putih menarik balik usul berkenaan dan meminta maaf secara terbuka kepada Annuar.

“Mereka juga seharusnya meminta maaf kepada pemuda Umno di seluruh negara kerana tindakan membawa usul itu turut memberi gambaran bahawa pemuda UMNO keseluruhannya tidak matang dan gagal melihat sesuatu isu dalam lingkungan pemikiran yang luas dan ada wibawanya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here