AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah memaklumkan dirinya positif Covid-19.
Menerusi video yang dimuatnaik di Facebooknya hari ini, Ketua Umno Bahagian Subang menyatakan keputusan itu diperoleh selepas menjalani ujian swab, semalam.
“Dua hari lepas saya dimaklumkan saya ada kontak rapat dengan salah seorang yang positif Covid-19 dan kejadian sekitar 28 hari bulan lalu ketika saya bertemu dengan individu terbabit.
“Hari ini hasil keputusan ujian swab, saya positif Covid-19,” katanya.
Armand turut memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku.
“Doktor meminta saya menjalani kuarantin di rumah. Walaupun sudah lapan hari (dari hari kejadian) saya diminta kuarantin selama 10 hari.
“Saya ingin memohon maaf… ini perkara yang kita tidak terfikir tetapi ia telah berlaku,” katanya. -Malaysiapost

