JURGEN Klopp mengakui Liverpool mengalami tempoh ‘berkarat’ selepas tewas 1-0 di tangan Southampton yang meneruskan perlawanan tanpa menang dalam tiga perlawanan.
Gol tunggal Danny Ings pada minit kedua yang memberikan tiga mata penuh pada perlawanan tersebut melonjakkan Southampton ke kedudukan keenam dalam liga.
Liverpool kekal di persada liga menerusi perbezaan gol mengatasi Manchester United, namun kini bermain lebih satu perlawanan berbanding Red Devils, yang akan berdepan mereka pada saingan liga seterusnya di Anfield pada 17 Januari.
“Ia tempoh berkarat yang kami perlu akui,” kata Klopp, dengan skuadnya kali terakhir gagal menang tiga saingan berturut-turut dalam Liga Perdana pada Mei 2018.
“Hanya jika anda tahu masalahnya, anda boleh selesaikannya, kami bukan buta. Kami perlu bertarung dan melaluinya.”
AFP melaporkan kekalahan pertama dalam liga sepanjang tiga bulan mungkin mempercepatkan usaha Liverpool mencari pertahanan tengah di musim perpindahan Januari ini.
Tanpa Virgil van Dijk yang cedera, Joe Gomez serta Joel Matip, Klopp menggunakan dua daripada pemain tengah pilihan, Fabinho dan Jordan Henderson bersama di bahagian pertahanan.
“Ia bukan hanya permulaan perlahan, tapi permulaan pertahanan itu menjadikan hidup kami sangat sukar malam ini,” kata Klopp.
Southampton juga kehilangan beberapa pemain utama dengan penjaga gol, Alex McCarthy tidak bermain kerana positif COVID-19 manakala Oriol Romeu, Jannik Vestergaard dan Che Adams semuanya cedera. – Malaysiapost

