TINDAKAN seorang penunggang motosikal ‘menyelit’ antara dua kenderaan mengundang padah apabila maut digilis treler dalam kejadian di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Klang semalam.
Mangsa, Mohd Azwan Fitri Pinggoi, 22, dari Sandakan, Sabah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dalam kejadian pada 11. 15 malam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa yang datang dari arah belakang cuba melepasi kereta dan treler.
Bagaimanapun, katanya, motosikal mangsa telah bergesel belakang kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun sebelum tercampak ke jalan raya.
“Sebuah treler dipandu lelaki berusia 38 tahun kemudiannya mengilisnya dengan mangsa kemudiannya tersepit di bahagian belakang treler itu.
“Mangsa kemudiannya berjaya dibawa keluar dengan bantuan bomba dalam operasi hampir sejam itu,” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online.
Jelas beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

