Peniaga Puchong Permai harap Gobind campur tangan

0
2

Najamuddin Mohd Nor

IKATAN Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) menggesa Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh supaya masuk campur isu 43 gerai peniaga di Puchong Permai yang bakal diroboh.

Presiden IKHLAS, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya bukan hendak menghalang Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), sebaliknya memohon tindakan merobohkan gerai penjaja itu ditangguhkan ekoran wabak pandemik Covid-19 masih melanda ketika ini.

“Hari ini, saya dan 43 peniaga gerai mengadakan pertemuan Ahli Parlimen Puchong itu supaya mendengar segala rintihan dan masalah mereka.

“Peniaga bukan tidak mahu berpindah, tetapi biarlah tempat baru itu siap sepenuhnya dahulu seperti kemudahan bekalan elektrik dan air Serra dengan keluasan yang lebih sesuai.

“Lagipun sekarang ni keadaan masih dilanda Covid-19, kenapa tak boleh tangguhkannya, kenapa kena sekarang?

“Saya mohon wakil rakyat untuk campur tangan dalam hal ini,” katanya di Pejabat DAP, Puchong, hari ini.

Bagaimanapun, kelibat Gobind tidak kelihatan sehingga petang tadi, namun pihak IKHLAS berjaya mengadakan pertemuan dengan wakilnya, Senator Suresh Singh Rashpal Singh dan Ahli Majlis MBSJ Aniza Jamaluddin.

Senator Suresh Singh Rashpal Singh

Dalam pada itu, Suresh berkata, pihaknya berjanji akan memandang serius perkara itu dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Aniza pula berjanji akan menggunakan kuasanya untuk mempertimbangkan cadangan merobohkan gerai itu yang dijadualkan pada 6.30 pagi esok.

Namun, Aniza berkata, perkara itu akan diputuskan selepas beliau mengadakan perbincangan dengan pihak berwajib.

Ahli Majlis MBSJ, Aniza jamaluddin

Maklumat terbaru yang diterima Malaysiapost malam ini, tindakan merobohkan gerai-gerai tersebut akan diteruskan dan telah disahkan oleh Mohd Ridzuan.

Pada 28 Disember lalu, peniaga di situ merayu supaya gerai mereka tidak dirobohkan kerana tidak mempunyai mata pencarian lain.

Mereka berhimpun di situ sejak awal pagi bagi membantah kerja perobohan oleh MBSJ dan agensi berkaitan.

MBSJ mendakwa lokasi perniagaan di Bulatan Puchong Permai tidak sesuai sebagai tapak penjaja selain wujud pelanggaran syarat permit sementara seperti gerai di atas rizab jalan dan berstruktur tetap. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here