Singapura tak setuju 2 permintaan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura

0
1

Nurul Huda Abhar

DATUK Seri Najib Razak memaklumkan bahawa Menteri Pengangkutan Singapura memberitahu sebab utama projek HSR KL-Singapura dibatalkan kerana Malaysia tidak mahu tender kontraktor serta pemilihan teknologi tren dibuat secara tender terbuka dan dinilai bersama Singapura.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, semasa beliau memegang tampuk pemerintahan, Malaysia dan Singapura bertanggungjawab atas kejayaan projek tersebut supaya penyelewengan dapat dikurangkan atau dielakkan.

“Tapi pendekatan kerajaan Perikatan Nasional (PN) agak berbeza. Mereka mahu pilih kontraktor dan vendor projek secara terus tanpa campur tangan Singapura.

“Kerajaan Singapura juga tidak bersetuju dengan permintaan kerajaan PN untuk tren HSR berakhir di KLIA.

“Di sana penumpang akan tukar ke tren ERL milik syarikat YTL yang lajunya separuh dari kelajuan tren HSR untuk sambung perjalanan ke ibu kota,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut Najib, keputusan tersebut adalah sangat pelik kerana pengunjung dari Singapura mahu perjalanan terus ke bandar Kuala Lumpur dalam masa tersingkat bukannya mahu berkunjung ke KLIA lalu tukar ke tren yang lebih perlahan.

Tambahnya, jika pengunjung dari Singapura mahu pergi ke lapangan terbang, mereka akan terus pergi ke lapangan terbang masing-masing.

“Oleh sebab kerajaan Singapura tak setuju dengan dua permintaan utama kerajaan PN, Malaysia pun batalkan perjanjian tersebut dengan membayar ganti rugi sekurang-kurangnya RM320 juta hingga RM1 bilion.

“Projek bukan dibatalkan Malaysia sebab Covid-19 seperti diumumkan kerajaan PN,” ujarnya lagi.

Berikutan itu, beliau berkata kerajaan PN membuat keputusan untuk lanjutkan tren ERL ke Johor Bahru sebagai projek HSR KL-Johor Bahru medium laju dengan kos hampir sama projek HSR KL-Singapura yang dibatalkan sebelum ini.

“Oleh sebab syarikat operasi akan rugi memanjang akibat jumlah pendapatan dan penumpang yang akan jauh menurun jika tidak sampai ke Singapura, kerajaan PN juga bersetuju membayar pampasan setiap tahun kepada syarikat ERL,” kata Najib.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan Singapura dalam kenyataan mengesahkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dibatalkan.

Republik berkenaan memaklumkan, Malaysia perlu membayar pampasan kepada Singapura atas pembiayaan yang ditanggungnya sebagai sebahagian daripada kewajiban berdasarkan perjanjian dua hala.
– Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here