Tajuddin jawab tomahan berkaitan Prasarana

0
2

PENGERUSI Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman melihat campur tangannya dalam pengurusan syarikat terbabit adalah perlu demi kepentingan syarikat.

Menurutnya, sama ada berjawatan eksekutif atau bukan eksekutif dalam syarikat itu, beliau berhak memberi pandangan mengenai pengurusan demi kepentingan ramai dan ia adalah tanggungjawabnya. 

“Saya hanya bagi nasihat kepada lembaga pengarah daripada apa yang saya lihat termasuk berkenaan aliran tunai syarikat yang jika berlaku defisit, maka syarikat akan mengalami masalah. 

“Selain itu, setiap tuntutan bayaran yang dibuat oleh pihak kontraktor juga perlu diteliti serta disahkan dan ia mengambil masa kerana membabitkan jumlah yang besar,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Prasarana di Wisma UOA, Kuala Lumpur hari ini. 

Beliau mengadakan sidang media bagi menjawab beberapa tuduhan termasuk dakwaan pihaknya menggunakan autoriti dalam keputusan syarikat termasuk isu menahan bayaran kepada kontraktor utama bagi projek pembangunan membabitkan bayaran tertunggak RM700 juta. 

Menurutnya, untuk rekod Prasarana sudah membayar kepada kontraktor utama itu sebanyak RM3.468 bilion dengan bayaran terbaru adalah pada 2 Oktober lalu. 

“Prasarana bukan menahan bayaran tetapi apabila ada masalah dengan aliran tunai, maka perbelanjaan perlu diuruskan dengan betul agar tidak berlaku defisit. 

“Kontraktor sepatutnya perlu lebih memahami,” katanya. 

Menjawab tuduhan membabitkan Projek Latitud 8 milik Prasarana yang mempunyai kaitan dengan syarikat ahli keluarganya pula,

Tajuddin berkata, projek berkenaan diperoleh sejak 2012 ketika menjadi Pengerusi Felcra dan bukannya Prasarana. 

“Ketika itu, saya tiada jawatan dalam Prasarana atau Kabinet dan selain ahli politik saya juga ahli perniagaan yang mendapat projek berkenaan. 

“Projek berkenaan kini tergendala susulan masalah dalam industri pembangunan dan saya memberi pandangan bagi mencari penyelesaian terbaik kedua-dua pihak, kontraktor dan Prasarana,” katanya. 

Sementara itu, menjawab mengenai tuduhan beliau campur tangan dalam tindakan penggantungan kerja Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Muhammad Nizam Alias, Tajuddin berkata pihaknya tiada kaitan dengan perkara itu. 

“Beliau (Muhammad Nizam) menghadapi beberapa tuduhan atau tohmahan, maka pihak Lembaga Pengarah mengarahkannya digantung kerja serta menjawab surat tunjuk sebab. 

“Surat tunjuk sebab itu sudah dijawab dan Jawatankuasa Khas sedang meniliti tuduhan serta jawapan daripada beliau. 

“Sampai masa nanti keputusan akan diumumkan namun perkara ini lebih bersifat masalah dalaman syarikat,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here