Umno kian tenggelam jika terus kerjasama dengan Bersatu – Tajuddin

0
2

AKAR umbi UMNO merasakan parti itu kian tenggelam dan tiada kedudukan dalam kerajaan jika terus bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu didedahkan Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang memaklumkan beliau sudah menemui 11 Badan Perhubungan Umno negeri.

Menurutnya, akar umbi parti menyatakan kebimbangan dengan situasi politik ketika ini di mana Umno sudah tiada kedudukan dalam kerajaan hingga menyukarkan matlamat dan agenda parti dilaksanakan.

“Ahli Umno merasakan parti itu akan terkubur jika bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 berdasarkan perkembangan politik muktahir ini.

“Ini kerana ketika ini Umno tiada kedudukan dalam kerajaan sekali gus menyukarkan untuk membela nasib Melayu.

“Bersatu pula dilihat memperkembangkan lagi kedudukan hingga timbul isu ada ahli Umno yang ‘dicuri’ dan ‘dibeli’ untuk membolehkannya menubuhkan lebih banyak cawangan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Wisma UOA hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Prasarana mengadakan sidang media bagi menjawab persoalan dan tuduhan terhadap syarikat berkaitan kerajaan itu.
Tajuddin berkata, bukan setakat ahli Umno akar umbi yang kini dikatakan dicuri, namun umum sedia maklum ramai pimpinan tertinggi parti itu yang ‘melompat’ selepas PRU yang lalu.

“Bersatu menjadi semakin besar sehingga Umno jadi kecil itu yang menyebabkan akar umbi bimbang dan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15,” katanya.

Beliau menjawab soalan pemberita apabila ditanya mengenai tindakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini.

Menurutnya, tindakan Ahmad Jazlan itu boleh disifatkan sebagai pencetus dalam usaha menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Mengenai khabar angin mengatakan Umno sedia bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam PRU15, beliau berkata sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam politik.

“Sebagai contoh dalam hidup ini jika kita kehilangan kawan maka kita perlu mencari kawan baru untuk meneruskan kehidupan, jadi dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku.

“Namun apa yang penting ketika ini adalah PAS perlu mengotakan janji mereka dengan Umno dalam Muafakat Nasional,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here