Seorang lagi penunggang motosikal maut langgar jalan berlubang

0
2

SEORANG penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar lopak di bahu jalan sebelum terjatuh di Jalan PJU 7/2 di Petaling Jaya hari ini.

Ia kejadian kedua mangsa bermotosikal maut akibat terlanggar lopak di jalan raya dalam tempoh dua hari selepas lelaki warga emas maut dalam kejadian di Jalan Tengah di ibu negara semalam.

Kejadian hari ini dilaporkan pada jam 1.15 tengah hari, ketika mangsa dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata mangsa berusia 31 tahun berasal dari Kampung Cempaka terlanggar lubang di bahu jalan sebelum motosikalnya hilang kawalan dan terbabas di lorong kiri jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam, Ho Yan Fee, 75, turut maut selepas terjatuh apabila motosikal ditunggang melanggar lubang di Jalan Tengah menghala ke Jalan Syed Putra.

Pada 27 Disember lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin cedera ringan selepas terjatuh dari basikal akibat terlanggar lubang ketika berbasikal berhampiran Kampung Sri Cheeding, Banting.

Susulan kejadian itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat memohon maaf kepada Ahli Parlimen Rembau tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here