SPRM tak serbu, hanya jalankan siasatan

0
3

PENGURUSAN Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menafikan ibu pejabat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Timbalan Ketua Komunikasi dan Pegawai Pemasaran Prasarana, Rafizah Amran berkata, pihak SPRM hanya menjalankan siasatan dan bukannya menyerbu ibu Pejabat syarikat berkenaan seperti dilaporkan media.

Menurutnya, beberapa pegawai SPRM hadir bertemu pihak pengurusan bagi menjalankan siasatan berhubung beberapa dakwaan terhadap Prasarana.

“Sehingga petang ini pegawai SPRM masih berada di sini (ibu pejabat Prasarana di Wisma UOA) bagi menjalankan siasatan.

“Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan yang dijalankan dan berharap SPRM dapat membersihkan nama Prasarana daripada segala tomahan itu,” katanya dalam sidang media di Wisma UOA di ibu negara hari ini.

Rafizah berkata, setakat ini tiada komputer atau telefon bimbit dirampas dan hanya beberapa dokumen yang perlu ditandatangani serta diambil oleh pegawai SPRM.

Beliau berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki turut mengesahkan siasatan yang dijalankan itu.

Terdahulu, beberapa media melaporkan SPRM sudah memulakan siasatan terhadap Prasarana susulan dakwaan salah guna kuasa di syarikat terbabit termasuk pengerusinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman cuba menggunakan autoritinya untuk melakukan perubahan signifikan dalam syarikat itu.

Difahamkan beberapa pegawai SPRM hadir ke ibu pejabat Prasarana di Wisma UOA di Bangsar kira-kira jam 9 pagi tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here