Tak mahu kerjasama dengan Bersatu, Ahmad Jazlan letak jawatan Pengerusi MPOB

0
2

DATUK Ahmad Jazlan Yaakob sebentar tadi mengesahkan telah telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa mulai Rabu ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu menerusi kenyataan memaklumkan surat tersebut dihantar kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada jam 4 petang tadi.

Peletakan jawatan itu menyusul selepas beliau semalam menyatakan kesediaan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi MPOB bagi menzahirkan prinsip tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Penghargaan setinggi terima kasih saya ucapkan kepada YB menteri di atas kepercayaan yang telah diberikan sepanjang saya berkhidmat sebagai Pengerusi MPOB.

“Saya juga menghargai segala kerjasama yang diberikan oleh Ahli Lembaga,
pengurusan dan seluruh warga MPOB sepanjang perkhidmatan saya bersama agensi ini.

“Didoakan semoga MPOB terus maju dan berdaya saing dengan membantu rakyat yang terlibat dengan komoditi sawit termasuk pemegang taruhnya,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang sebelum ini dilaporkan berkata beliau sedia meletak jawatan tersebut sekiranya PN tidak meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen segera.

Malah, beliau memberikan tempoh sehingga hujung Januari ini untuk Parlimen dibubarkan.

“Sudah pasti saya ada maruah, saya ada prinsip. Saya tidak mahu hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

“Kalau saya tarik diri saya akan sertakan sekali peletakan jawatan saya kerana saya tidak pentingkan jawatan, saya pentingkan maruah,” katanya.

Beliau menyandang jawatan Pengerusi MPOB sejak Julai tahun lalu itu sebagai kuota bagi Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN.

Terdahulu dilaporkan lebih 140 bahagian Umno seluruh negara menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here