SEBANYAK 189 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat bahagian-bahagian itu semalam.
Hanya satu bahagian di Kelantan dan satu di Perlis bersedia mempertahankan kerjasama sedia ada, berdasarkan kenyataan pemimpin dari bahagian tersebut.
Memetik Utusan Malaysia, laporan itu tidak menyebut secara khusus berkaitan pendirian Umno Putrajaya.
Semalam, ketuanya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membuat ketetapan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Beliau juga meminta semua Ahli Parlimen Umno meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebelum ini berkata sebanyak 145 bahagian enggan meneruskan kerjasama dengan Bersatu.
Terdahulu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan berkata, seramai 143 daripada 191 ketua Umno bahagian enggan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.
Menurut Zahid, semua usul itu akan dibawa ke mesyuarat MT pada Rabu ini sebelum membuat ketetapan sama ada akan menerimanya atau tidak.
Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan berkata, kesemua usul daripada 191 bahagian akan dibincangkan oleh MT sebelum membuat sebarang ketetapan, termasuk usul kerjasama dengan Bersatu. – Malaysiapost

