PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob sedia melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi menzahirkan prinsip tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau menegaskan tindakan itu akan dilakukan sekiranya PN tidak meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen segera.
Ahli Parlimen Machang itu memberikan tempoh sehingga hujung Januari ini untuk Parlimen dibubarkan.
“Sudah pasti saya ada maruah, saya ada prinsip. Saya tidak mahu hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
“Kalau saya tarik diri saya akan sertakan sekali peletakan jawatan saya kerana saya tidak pentingkan jawatan, saya pentingkan maruah,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Menurutnya, jawatan Pengerusi MPOB disandangnya sejak Julai tahun lalu itu adalah sebagai kuota bagi Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN.
Namun katanya, selepas Umno membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PN, jawatan berkenaan perlu dikembalikan.
Terdahulu dilaporkan lebih 140 bahagian Umno seluruh negara menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Aziz Kaprawi dilaporkan berkata antara sebeb utama kebanyakan bahagian Umno menolak kerjasama tersebut disebabkan parti yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidak ikhlas dan jujur dalam menjalinkan kerjasama politik bersama Umno dan PAS. – Malaysiapost

