MAHKAMAH koroner Seremban hari ini memutuskan bahawa kematian remaja perempuan Ireland-Peranchis, Nora Anne Quoirin disebabkan oleh peristiwa malang.
Koroner Maimoonah Aid berkata tiada pihak ketiga terbabit dalam kematian remaja itu selepas dia hilang dari resort The Dusun di Seremban pada Ogos 2019.
“Selepas mendengar semua bukti yang relevan, saya memutuskan bahawa tiada sesiapa terlibat dalam kematian Nora Anne.
“Kemungkinan besar dia meninggal dunia kerana kecelakaan ketika keluar dari sora house (di Dusun Resort) seorang diri dan kemudian tersesat di kawasan kebun sawit tinggal,” katanya semasa prosing terbuka di Kompleks Mahkamah Seremban, hari ini.
Beliau berkata bagi membuat spekulasi dan menganggap tindakan dan penglibatan pihak ketiga tanpa fakta yang dibuktikan adalah pelanggaran kepada tugasnya.
“Dengan ini inkuiri ini ditutup,” katanya, lapor Malaysiakini.
Keputusan itu mengambil masa sekitar dua jam apabila koroner merumuskan kesemua keterangan saksi dan disiarkan secara langsung dalam talian.
Hari ini ditetapkan bagi mengetahui keputusan berhubung siasatan mengenai kematian remaja berkenaan.
Seramai 47 saksi, termasuk ibu bapa remaja itu, Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastien Quoirin, memberikan keterangan semasa prosiding inkues yang bermula pada 24 Ogos tahun lalu.
Prosiding juga disiarkan secara langsung dalam talian melalui portal rasmi badan kehakiman Malaysia melalui YouTube dan Facebook, dan dijalankan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.
Sebelum ini dilaporkan remaja berusia 15 tahun itu hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah resort di Pantai dekat Seremban.
Setelah pencarian secara besar-besaran, mayatnya ditemui berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5km dari resort tempat dia dan keluarganya menginap pada 13 Ogos 2019.
Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja kurang upaya itu tidak mempunyai unsur jenayah dan meninggal dunia akibat pendarahan gastrousus kerana kelaparan dan tekanan yang berpanjangan. – Malaysiapost

