Chelsea kalah di tangan pasukan ‘tempang’

0
2

CHELSEA mendapat pengajaran berguna selepas tumpas kepada pasukan ‘tempang’ Manchester City 1-3, di laman sendiri awal pagi tadi.

Frank Lampard mengakui Chelsea mendapat ‘pengajaran serius’ daripada Manchester City tetapi menegaskan penyokong mereka perlu bersabar ketika dia berusaha membina pasukan lebih kuat.

Skuad Pep Guardiola yang kehilangan beberapa pemain akibat Covid-19 menang dengan Ilkay Gundogan, Phil Foden dan Kevin De Bruyne meledak jaringan pada babak pertama.

Chelsea yang mendapat gol menerusi Callum Hudson-Odoi pada masa kecederaan hanya mampu melakukan dua percubaan tepat dengan penjaga gol lawan, Zack Steffen yang tampil kali pertama jarang digugat.

Blues kini tewas empat kali dalam enam aksi liga terakhir, meraih 26 mata daripada 17 perlawanan pertama musim 2020-21, kurang tiga mata dikutip berbanding peringkat sama musim lalu.

Agensi melaporkan dengan dua pasukan teratas Liverpool dan Manchester United yang memounyai kelebihan tujuh mata di hadapan, tekanan menggunung di bahu Lampard apabila skuadnya menghabiskan £220 juta (RM1.210b) pada musim perpindahan lalu.

Lampard mengakui prestasi skuadnya kurang mantap pada babak pertama tetapi dia percaya mereka memerlukan masa bagi membolehkan Chelsea menghampiri tahap seperti City dan juara, Liverpool.

“Untuk tempoh 10 minit, kami bagus tetapi selepas itu mereka gagal kekalkan momentum dan kami melepaskan dua gol mudah. Kami kemudiannya gagal bertindak balas seperti saya mahu,” katanya.

“Kami tahu mereka beraksi tanpa penyerang sebenar jadi kami sepatutnya perlu pastikan tiada ruang di situ, sebaliknya kami berikan ruang kepada De Bruyne, [Bernardo] Silva dan Gundogan. Dia mendapat peluang dan merembat gol pertama.

“Jadi, kami mendapat pengajaran serius pada babak pertama, karakter lebih baik babak kedua tetapi kesilapan telah pun berlaku. Saya menjadi orang pertama melihat diri saya sendiri. Apabila melihat skuad ini, saya tahu ada peningkatan tapi tahu di mana kami berada dan saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk berada pada tahap seperti City.

“Adalah normal hadapi tempoh menyakitkan dan hari ini adalah ujian,” kata Lampard.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here