PENGASAS awal Bersatu, Senator Muhammad Zahid Md Arip menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya parti itu mencuri ahli-ahli Umno.
Sebaliknya beliau mendakwa apa yang sebenarnya berlaku ialah kemasukan berbondong-bondong ahli Umno – baik di peringkat akar umbi mahupun dalam kalangan pimpinan – adalah disebabkan hilangnya kepercayaan terhadap pucuk pimpinan Umno.
Malah, katanya, mereka merasakan Umno bukan lagi wadah untuk orang Melayu dan Bumiputera bergantung harap.
“Tuduhan ini juga sebenarnya suatu penghinaan ke atas ahli-ahli akar umbi Umno yang waras dan rasional, yang kecewa dengan tindak-tanduk pimpinan Umno.
“…. yang sudah menjadi rahsia terbuka cuba menjalinkan kerjasama politik dengan DAP dan Anwar Ibrahim sehingga menyebabkan mereka memilih Bersatu dengan rela hati,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Muhammad Zahid seterusnya mengingatkan pemimpin Umno supaya cukup-cukuplah bermain politik sempit dan menjadi ejen pemecah-belah kepada keharmonian kerjasama yang terjalin dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.
Ini kerana, katanya, fokus serta tumpuan sebenar Umno serta semua parti dalam PN adalah untuk memulihkan kembali ekonomi negara dan menangani ancaman Covid-19.
“Saya percaya terdapat kumpulan ‘lidah kontot’ dalam Umno yang kalah serta tidak terpilih menjadi calon dalam pilihan raya umum lalu, yang menjadi ejen kepada DAP dan Anwar Ibrahim telah mendalangi permainan politik ini dengan menyemarak kebencian terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Jika agenda kumpulan ‘lidah kontot’ ini berjaya dan tidak dibersihkan segera oleh Umno, Umno akan ditelan oleh DAP dan PKR buat selama-lamanya,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Bersatu ‘membeli’ dan ‘mencuri’ ahli Umno di peringkat akar umbi.
Beliau mendakwa “setiap yang menyertai Bersatu dibayar sehingga RM100 dan setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000”.
Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menafikan tuduhan tersebut dan menuntut Asyraf Wajdi memohon maaf dan menarik balik tuduhan tersebut serta-merta. – Malaysiapost

