9 gerai tapak perniagaan musnah dijilat api

0
3
Foto ihsan Bomba

Sembilan gerai hangus di jilat api dalam satu kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.

Menurut Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba, Armdan Mahat, kejadian berlaku di tapak perniagaan Jalan 1/76B Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Armdan berkata pasukannya tiba di lokasi kejadian pukul 5.50 pagi dan didapati beberapa buah gerai sedang marak terbakar.

“Api dapat dikawal daripada terus merebak ke gerai berhampiran jam 6.01 pagi sebelum kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 18 minit.

“Semakan mendapati sebanyak sembilan gerai musnah seratus peratus dalam kebakaran membabitkan gerai berkeluasan 150 kaki persegi setiap satu,” katanya dalm satu kenyataan hari ini.

Dua jentera bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dan BBP Keramat digerakkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.38 pagi.

Menurut Armdan, setakat ini punca kebakaran berlaku serta jumlah kerugian keseluruhan masih dalam siasatan.

Beliau juga menjelaskan tiada kemalangan jiwa berlaku akibat kebakaran tersebut.

Tindakan pantas pasukan bomba dapat mengawal api daripada merebak ke seluruh tapak perniagaan tersebut yang menempatkan 68 gerai keseluruhan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan mengadakan lawatan ke lokasi kebakaran pagi ini.