
PERGERAKAN Pemuda Umno Bahagian Pasir Puteh mengusulkan supaya Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dipecat dari parti berkenaan.
Usul berkenaan dicadangkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali ketika mesyuarat perwakilan pergerakan itu semalam.
Menurutnya, parti perlu mengambil tindakan tegas memecat keahlian Annuar selepas Ketua Umno Bahagian Ketereh itu dilihat menjadi tali barut dan jurucakap kepada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Perwakilan mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuang keahlian Annuar, kerana Ahli Parlimen Ketereh itu menjadi tali barut Bersatu, tidak menghormati presiden parti, mendahului keputusan parti dan tidak membela Umno,” katanya seperti dilaporkan Astro AWANI hari ini.
Menurut Muhammad Saifullah, Pemuda Umno Pasir Puteh juga mendesak supaya kerjasama Umno dan Pas dikaji semula disebabkan sikap parti itu tidak mengutamakan hubungan Umno dalam Muafakat Nasional (MN).
“Perwakilan juga mendesak agar Umno memutuskan segera hubungan dengan Bersatu serta mencadangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam suku pertama tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun, sekiranya PRU-15 tidak dapat diadakan, perwakillan mengusulkan supaya semua Ahli Parlimen Umno meletak jawatan sebagai menteri atau timbalan menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN). -Malaysiapost
