Mungkin mesyuarat terakhir sebelum PRU 15 – Hishammuddin

0
2

BENDAHARI Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein membayangkan kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, mesyuarat Umno Bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara awal minggu ini mungkin yang terakhir sebelum ke ‘medan pertempuran’ PRU-15.

“Kita tiada pilihan selain daripada menjadikan mesyuarat ini sebagai gelanggang bersama-sama mencorak strategi yang ampuh, mempersiapkan senjata dan kelengkapan, menguatkan mental, mengentalkan jiwa, membina keberanian dan paling utama merapatkan saf dan barisan.

“Ini bagi memastikan langkah kita ke medan pertempuran sederap dan sehaluan.

“Bak kata pepatah, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul, ke gunung sama kita daki, ke lurah sama kita turuni,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Hishammuddin yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong berkata, kekalahan dalam pilihan raya bukan satu pilihan, justeru semua pihak perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan parti.

Sebagai Ketua Bahagian, beliau mahu setiap gerak kerja, persiapan dan pelaksanaan strategi ke arah menjamin kemenangan parti mendapat sumbangan tenaga padu ahli Umno kawasan.

“Kita perlu menang bukan untuk saya sebagai Ahli Parlimen atau Ketua Bahagian, bukan juga untuk mana-mana individu dalam Umno.

“Sebaliknya, kita perlu menang demi maruah dan kelangsungan parti demi mengukuhkan semula kepercayaan rakyat terhadap Umno, selain memastikan kesucian Islam serta hak bangsa Melayu di negara ini terus terbela,” katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Luar menegaskan, kesucian Islam dan bangsa Melayu menjadi pertimbangan terbesar dalam penubuhan Umno.

Beliau turut menyatakan kebimbangan tindakan segelintir pihak yang cuba menghalalkan kerjasama dengan DAP.

“Penyatuan UMNO dan DAP tidak akan berlaku sampai bila-bila dan itu sebabnya kita perlu menanam tekad sedalam-dalamnya.

“Selagi kita menumpahkan taat setia kepada Umno, selagi fikiran kita masih waras, selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah kita akan berjuang memastikan penyatuan Umno dan DAP tidak akan berlaku,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here