SD sokongan: Anwar hantar surat lagi kepada Agong

0
2

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan telah menghantar sepucuk lagi surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung sokongan dimilikinya bagi menjadi Perdana Menteri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata beliau masih yakin mampu mendapat sokongan Umno untuk menjadi Perdana Menteri kelapan.

Anwar berkata, kini segala-galanya terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

“Ini proses terus. Saya sudah hantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong. Agong baru habis kuarantin.

“Itu budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Jadi saya tak mahu komen lebih daripada itu,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Al-Sultan Abdullah menjalani kuarantin sejak 26 Disember setelah pulang dari lawatan rasmi ke Abu Dhabi dan dijadual berakhir semalam.

Sementara itu, Malaysiakini turut melaporkan sumber yang rapat dengan kepemimpinan PKR memberitahu, Anwar dipercayai menghantar surat tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong pada bulan lalu, ketika hujung sidang Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat ditangguhkan pada 17 Disember 2020.

Minggu sebelumnya, terdapat khabar angin bahawa Anwar mendapat 113 akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno yang dikatakan menandatangani SD itu menafikan dakwaan berkenaan manakala PKR turut menafikan perkara itu.

September lalu, Anwar mendakwa dirinya mempunyai jumlah sokongan yang disifatkan ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Justeru, pada 13 Oktober lalu, Anwar diperkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara dan telah mempersembahkan dokumen yang didakwa mengandungi butiran sokongan majoriti ahli Parlimen yang diperlukan.

Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan sebaik selesai sesi menghadap itu berkata, Anwar tidak mempersembahkan senarai nama ahli-ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here