SEORANG warga emas di Kampung Seri Jaya Baru di Tampoi, di Johor Bahru, sebak dan hilang kata-kata apabila hampir semua barangan dalam rumahnya rosak akibat ditenggelami banjir semalam.
Salmah Selamat, 71, berkata banjir kali ini tidak dapat dijangka dan disifatkan paling buruk berbanding banjir besar melanda negeri itu pada tahun 2006.
Katanya kepada Bernama, hujan lebat menyebabkan Sungai Perling di belakang rumahnya melimpah, mengakibatkan rumahnya dan penduduk lain terjejas dengan air naik sehingga tiga meter.
“Balik sahaja tengok rumah mengalir air mata saya, habis semua bilik, katil, pinggan mangkuk, baju, almari baru beli pun pecah dan hancur.
“Hampir 40 tahun saya duduk di sini, tiap kali banjir memang sebak dan sedih… tiada apa mampu saya lakukan lagi melainkan redha,” kata ibu kepada empat cahaya mata yang kematian suami pada 1999 itu.
Menurutnya, air mula surut kira-kira jam 1 pagi dan rata-rata penduduk melakukan kerja pembersihan pagi tadi, selain berharap agar cuaca baik hari ini dan air tidak lagi naik.
Sementara itu, Azrinuruddin Saadon, 48, yang turut mengalami nasib sama berkata, rumah peninggalan ibu bapanya itu turut dinaiki air dan banyak kerja pembersihan perlu dilakukan memandangkan air bertakung di dalam rumah.
“Kawasan kampung ini rendah, tiap kali hujan lebat memang banjir, macam rumah saya air kena timba sebab bertakung.
“Air bertakung ini pula bercampur dengan air pasang dan air longkang… kadang-kadang akan berbau.
“Tapi sudah lali sebab lebih 30 tahun alami banjir ini sejak saya kecil lagi,” kata bapa kepada empat anak yang bekerja sebagai Operator Terminal di Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Kampung Seri Jaya Baru antara kawasan yang terjejas teruk banjir di bandar raya Johor Bahru dan tinjauan Bernama di sekitar Kampung Pasir juga mendapati, rata-rata penduduk mula mengeluarkan perabot dan membersihkan rumah masing-masing.
Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 2,452 orang diikuti Kluang dengan 1,867 orang dan Kota Tinggi seramai 1,125 mangsa. – Malaysiapost

