SEORANG lelaki warga emas maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas selepas terlanggar lubang di Jalan Tengah menghala ke Mid Valley di ibu negara, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Ho Yan Fee, 75, dari Pandan Perdana, Cheras meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Connaught menghala Mid Valley, lapor Berita Harian.
“Motosikal mangsa dipercayai terbabas selepas terlanggar lubang pada jalan rosak di lorong tengah di laluan yang mempunyai tiga lorong berkenaan sebelum terjatuh ke jalan.
“Anggota pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.-Malaysiapost

