Banjir Johor: 10 jalan di 3 daerah terputus hubungan

0
2

SITUASI banjir di Johor kian buruk apabila 10 jalan di tiga daerah terputus hubungan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, ia membabitkan lima laluan di Kluang, empat di Kota Tinggi dan satu di Johor Bahru.

Beliau berkata, Jalan Haji Suhud di Taman Muhibbah, Johor Bahru ditutup sepenuhnya disebabkan jambatan runtuh manakala tebing runtuh di Kampung Contoh, Kluang menyebabkan jalan ditutup sebelah.

“Di Kota Tinggi, Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Mawai Lama, Jambatan di Jalan Semanggar serta Jambatan di Jalan Sungai Sayong tidak boleh dilalui dan ditutup untuk semua kenderaan.

“Di Kluang, jalan berhampiran Ladang Pak Loh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kahang ditutup kepada kenderaan ringan manakala jalan berhampiran Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan Ladang Pelangi ditutup bagi semua kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai perkembangan mangsa banjir, Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir menunjukkan trend peningkatan dengan pertambahan 430 individu membabitkan 88 keluarga dalam tempoh empat jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Katanya, jumlah mangsa banjir setakat ini seramai 6,248 orang membabitkan 1,628 keluarga meningkat daripada 5,818 mangsa melibatkan 1,540 keluarga yang dilaporkan pada 8 pagi tadi.

“Jumlah daerah yang terjejas kekal tujuh melibatkan kawasan di Batu Pahat, Kluang, Pontian, Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi dan Mersing.

“Daerah paling terkesan termasuklah Johor Bahru yang menyaksikan 2,452 mangsa, diikuti Kluang (1,867), Kota Tinggi (1,125) dan Kulai (581),” katanya.

“Walaupun jumlah terus menunjukkan peningkatan, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka menjadikan jumlahnya kekal 56,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here