Nilam Oshman
KERAJAAN perlu meneliti semula keputusan membuka sesi persekolahan 2021 pada 20 Januari ini seperti dijadualkan.
PRESIDEN Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berpendapat kerajaan perlu terlebih dahulu melakukan pemantauan keadaan semasa jangkitan Covid-19 sebelum sekolah dibuka.
“Memang kita mahu pelajar datang ke sekolah bersemuka untuk sesi pembelajaran mereka sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan, terutama bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam untuk
menyiapkan diri menghadapi peperiksaan.
“Pembelajaran secara fizikal (bersemuka) ini memang amat diperlukan kerana sudah lama (pelajar) meninggalkan persekolahan,” katanya kepada Malaysiapost.
Bagaimanapun, Dr Mohamad Ali berkata, memandangkan kebarangkalian keadaan Covid-19 ini semakin membimbangkan, maka kerajaan perlu meneliti semula keputusan yang telah dibuat.
“Kemungkinan (sekolah) ditangguhkan lagi dan perlu difikirkan semasak-masaknya.
“Walaupun peperiksaan itu penting dan persediaan untuk menyiapkan diri bagi kesiapsiagaan juga penting tetapi kesejahteraan dan keselamatan pelajar itu lagi penting.
“Inilah yang perlu dipertimbangkan dan diperhalusi oleh kerajaan,” katanya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan sempena tahun baharu 2021 memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan dibuka pada 20 Januari mengikut takwim yang diumumkan sebelum ini.
Berdasarkan Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021, permulaan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut melibatkan semua murid sekolah rendah dan sekolah menengah bagi pelajar Tingkatan 1, 4, 5 dan 6 serta Kolej Vokasional.
Pelajar Tingkatan 2 dan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh sama menerusi kaedah pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian serta kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021. – Malaysiapost

