PAS tak mahu terbabit, dibabitkan dalam polemik politik

0
2

PAS tidak mahu terbabit mahupun dibabitkan dalam sebarang polemik politik yang membawa negara ke kancah perpecahan, sekalingus mengundang kepada ketidakstabilan, ancaman terhadap keamanan dan kehidupan ekonomi rakyat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata untuk tujuan itu PAS sekali lagi bertekad memperkasakan Gagasan Muafakat Nasional (MN) di samping mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“PAS sebagai sebuah parti politik utama negara yang pula berprinsipkan Islam dengan tegas berpandangan aspek perpaduan amatlah penting dalam proses bina negara demi kepentingan rakyatnya.

“Selepas bersama memimpin ke arah perpaduan ummah melalui MN, dikuti menyelamatkan negara melalui persefahaman menubuhkan Kerajaan PN, PAS berpandangan semua pihak perlu komited, jujur dan bertanggungjawab.

“Ini dalam menguruskan pemerintahan dan pentadbiran negara terutama di zaman dunia umumnya berada dalam keadaan yang amat sukar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau seterusnya berkata, PAS meminta rakan-rakan politik terutama di pihak kerajaan agar terus berlapang dada, bertolak ansur serta mengambil iktibar dari peristiwa lampau demi maslahat rakyat yang memerlukan kepimpinan yang baik dan berintegriti.

“PAS amat percaya hanya perpaduan yang sejati dan ikhlas mampu membawa kepada pembinaan negara harmoni, maju, bersatu padu serta saling menerima dan hormat menghormati antara rakyat pelbagai kaum, agama, adat resam dan budaya di negara kita yang tercinta ini,” katanya.

Kenyataan Takiyuddin itu dikeluarkan ketika hubungan Umno dan Bersatu dilaporkan semakin berantakan, terutama ketika Mesyuarat Perwakilan Umno yang sedang berlangsung di seluruh negara.

Beberapa bahagian Umno dilaporkan mengemukakan usul agar parti itu menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here