Umno Melaka tak izin kerusi Masjid Tanah diberi pada Bersatu

0
2

UMNO Melaka bertegas meletakkan calon parti itu untuk bertanding di Parlimen Masjid Tanah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah berkata, penting untuk parti itu mempertahankan kerusi dimenangi Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

“Umno tiada masalah jika Bersatu ingin bertanding di kerusi yang dia menang seperti Parlimen Alor Gajah… dipersilakan.

“Tetapi kita tidak benarkan kerusi Masjid Tanah yang kita menang untuk diberikan kepada Bersatu,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah seperti dilapor BH.

Ab Rauf turut menggesa PRU-15 segera diadakan bagi membolehkan Umno dan PAS yang bekerjasama erat melalui Muafakat Nasional serta parti lain dalam BN bersama-sama membentuk kerajaan.

Pada masa sama, beliau menegaskan kerjasama antara Umno dengan PAS perlu diperkukuh untuk menghadapi PRU-15, namun kerjasama parti itu dalam Perikatan Nasional perlu dikaji semula.

Sebelum ini dalam PRU lalu, kerusi Parlimen Masjid Tanah diwakili calon BN, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, sebelum wakil rakyat itu keluar menyertai Bersatu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here