Setuju Umno Pagoh tak beri laluan kepada Muhyiddin

0
2

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyokong pendirian Umno Pagoh yang tidak mahu memberi laluan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata keputusan Umno Pagoh itu sebagai tindakan yang berpendirian dalam apa jua keadaan.

“Saya selaku ahli MKT Umno menyokong kuat pendirian Umno Bahagian Pagoh membuat ketetapan untuk letak calon Umno bertanding dalam apa jua keadaan di kerusi Parlimen dan semua DUN (Dewan Undangan Negeri) dalam Parlimen Pagoh.

“Ketetapan itu dibuat dalam Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pagoh semalam. Umno Pagoh akan mengemukakan usul itu kepada MKT. Tahniah Umno Pagoh. Radu Tatap Radu,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba menyatakan cadangan memberi laluan kepada Muhyiddin untuk terus bertanding di Pagoh telah disampaikan kepada pucuk pimpinan parti baru-baru ini.

Namun, Ketua Umno Pagoh, Ismail Mohamed berkata Umno bahagian itu sebulat suara enggan memberi laluan kepada Muhyiddin yang juga Perdana Menteri mempertahankan kerusi Parlimen tersebut.

Beliau berharap pendirian itu yang diputuskan dalam Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian, dapat didengari kepemimpinan tertinggi parti.

“Saya harap mereka (Majlis Tertinggi Umno) dapat mendengar kami dan membenarkan Umno Pagoh bertanding di kerusi Parlimen dan dua DUN (di bawahnya).

“Kami menghormati keputusan Umno negeri tetapi kami harap mereka juga menghormati pendirian kami,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here