SEJUMLAH 1,780 mangsa banjir daripada 500 keluarga melibatkan lima buah daerah di Johor, setakat jam 8 malam hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, R.Vidyananthan berkata, jumlah berkenaan mencatatkan peningkatan secara mendadak berbanding 1,000 mangsa banjir yang direkodkan pada pukul 4 petang tadi.
Katanya, peningkatan jumlah tersebut menyaksikan bilangan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka meningkat dua kali ganda kepada 28 PPS di Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulai dan Batu Pahat.
“Kesemua mangsa banjir yang dipindahkan itu datangnya daripada 39 buah kampung yang terjejas bencana banjir.
“Daerah Kluang terjejas teruk akibat bencana banjir apabila seramai 698 mangsa daripada 206 keluarga dipindahkan ke 12 PPS di daerah itu.
“Daerah Johor Bahru merekodkan seramai 690 mangsa banjir daripada 189 keluarga diikuti Kota Tinggi melibatkan 286 mangsa daripada 66 keluarga, Kulai dengan 99 mangsa daripada 25 keluarga dan Batu Pahat membabitkan tujuh mangsa daripada empat keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, taburan PPS yang dibuka setakat ini ialah 12 di Kluang diikuti Johor Bahru (6), Kota Tinggi (7), Kulai (2) dan Batu Pahat (1).
“Punca banjir melanda negeri ini berpunca daripada hujan sederhana lebat yang berpanjangan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.
“Bencana banjir tahun ini merekodkan satu kes kematian dipercayai disebabkan lemas di Kampung Contoh, Kahang, Kluang.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah laluan di Jalan Pengerang-Kota Tinggi terpaksa ditutup sementara setelah ditenggelami air akibat banjir. -Malaysiapost
