PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu bertanding di Pahang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy menegaskan parti serpihan Umno itu tidak mempunyai kerusi di parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang.
“Bersatu tidak perlu bertanding di Pahang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Kerana parti itu langsung tiada satu kerusi pun di negeri itu baik di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya yang juga merupakan Menteri Besar Pahang.
Laporan berita tentang kenyataan Wan Rosdy itu kemudiannya disambut oleh Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun Twiiternya.
“Setuju… Kelantan juga,” tulisnya.
Namun tidak jelas sama ada Annuar benar-benar bersetuju dengan pandangan Wan Rosdy atau ciapannya itu merupakan satu sindiran. – Malaysiapost

