PERASAAN kedua ibu bapa Nur Izzah Mohd Shokri agak lega selepas akhirnya dapat melawat anak perempuan mereka di Salford Royal Hospital di Greater Manchester, England.
Pelajar tahun pertama Universiti Manchester tersebut ditempatkan di hospital itu selepas berada dalam keadaan koma akibat kemalangan dengan bas, Isnin lalu.
“Ada perasaan lega, akhirnya saya dapat melihat sendiri. Dia kelihatan seolah-olah sedang tidur, tanpa kecederaan yang dapat kita lihat,” kata Mohd Shokri Zainal, yang bersama isterinya Hamidah Wahab.
Hamidah pula berkata, sepanjang penerbangan dari Malaysia dia berfikir adakah akan tiba di hospital tepat pada waktu untuk menemui Nur Izzah.
“Saya tidak dapat tidur walau sekejap setelah menerima panggilan pada jam 3 pagi dari pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London mengenai kemalangan itu.
“Saya hanya mahu berada di sana untuk memegang dan menciumnya serta membaca Yassin, kami diberitahu untuk meluangkan masa yang kami suka kerana mereka (doktor) tidak tahu bila kami akan dapat berjumpa dengannya lagi kerana pandemik,” katanya seperti dilapor New Straits Times.
Tambah guru dari Kolej Komuniti Bentong di Karak, Pahang, hampir sejam dia dan suami menghabiskan masa di sisi puteri kesayangan sambil menitipkan kata-kata semangat.
“Kami menghabiskan kira-kira sejam di sana untuk membaca doa dan bercakap dengannya.
“Kami meyakinkannya bahawa kami akan berada di sana sehingga dia pulih dan memintanya untuk menjadi kuat dan berani,” katanya lagi.
Di samping itu, Shokri dan Hamidah juga dibawa untuk melihat tempat di mana kemalangan berlaku di Wilmslow Road di Rusholme, selatan Manchester.
Pelajar jurusan Perakaunan dan Kewangan yang ditaja oleh Petronas itu sedang berbasikal ketika kemalangan itu berlaku pada jam 4.25 petang waktu UK.
Nur Izzah yang berusia 20 tahun mengalami kecederaan di kepala, tulang rusuk dan paru-paru. Dia dikejarkan ke hospital di mana dia menjalani pembedahan neuro.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Hamidah Wahab 106138056407 atau Maybank Kesatuan Alumni se-Eropah 564922002001.
Tarikh akhir sumbangan adalah pada 8 Januari 2021. – Malaysiapost

