Jangan sensasikan isu saiz perkhidmatan awam – CUEPACS

0
1

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menolak pandangan bekas diplomat Malaysia, Datuk Dr Fauziah Mohd Taib yang mahu ‘saiz’ perkhidmatan awam diperkecilkan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, memasuki minggu pertama tahun 2021, sektor perkhidmatan awam telah ‘diusik’ dengan kenyataan terbuka dalam media yang mungkin boleh mengundang persepsi tidak baik kepada penjawat awam Malaysia.

Katanya, lebih mengecewakan lagi kenyataan bertajuk “Is It Time To Trim The Civil Service” datangnya daripada bekas pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai banyak pengalaman dalam perkhidmatan awam.

“Walaupun tidak menyatakan dengan jelas saiz perkhidmatan awam di Malaysia perlu dikecilkan.

“Namun, hujah dikemukakan beliau seolah-olah mahu membawa pembacanya percaya dan yakin bilangan penjawat awam pada hari ini berlebihan dan boleh dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Adnan menegaskan sekali lagi bahawa saiz perkhidmatan awam Malaysia dengan jumlah warganya kira-kira 1.6 juta orang masih ideal dan tidak terlalu besar.

Bahkan katanya, jumlah itu turut membabitkan sektor pendidikan, pasukan keselamatan dan tenaga kerja kesihatan yang lazimnya tidak diambil kira sebagai kakitangan awam di negara lain.

“Bahkan jika kita lihat jumlah penjawat awam di sektor pendidikan, keselamatan dan kesihatan awam masih lagi tidak mencukupi dan perlu ditambah selaras cabaran semasa dihadapi negara pada masa akan datang.

“Jika ditolak dengan ketiga-tiga sektor tersebut, penjawat awam di Malaysia hanya membabitkan lebih 600,000 sahaja,” katanya.

Selain itu, menurutnya, pandangan Dr Fauziah yang menyatakan perkhidmatan awam masih lagi mampu beroperasi walaupun pada kapasiti 30 peratus adalah tidak tepat.

“Sebenarnya perkhidmatan awam masih lagi beroperasi 100 peratus sama ada di lapangan, di pejabat atau bekerja dari rumah.

“Jumlah 30 peratus itu hanyalah mewakili kakitangan yang perlu bertugas di pejabat sahaja dan ia melibatkan beberapa negeri sahaja sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan pada Oktober 2020.

“Justeru pandangan beliau yang menyatakan saiz perkhidmatan awam berlebihan kerana masih lagi boleh beroperasi pada tahap kakitangan hanya 30 peratus adalah tidak benar dan boleh mengelirukan orang ramai,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun 30 peratus sahaja petugas dibenarkan bekerja di pejabat, dan tidak semuanya juga bekerja dari rumah kerana masih ada petugas yang perlu turun ke lapangan dan menjalankan tugas seperti biasa.

“Petugas yang bekerja dari rumah juga bukanlah bercuti tetapi tetap menjalankan tugas dengan teknologi sistem atas talian dan sebagainya.

“Mereka ini juga tidak sepenuhnya bertugas dari rumah kerana ada penggiliran bagi memastikan operasi berjalan lancar.

“Kelancaran dan kecekapan dalam sistem perkhidmatan awam hari ini telah menjadikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas serta boleh diterima rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, tidak timbul isu lebihan dalam saiz perkhidmatan awam.

“Dalam hal ini, Cuepacs berpendapat Dr Fauziah menggunakan saluran yang betul dalam menyampaikan sendiri pandangan beliau terutama kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bukannya membincangkan isu tersebut secara terbuka dengan fakta yang tidak tepat,” katanya.

Memasuki tahun 2021 yang dianggap lebih mencabar dengan penularan Covid-19 ini, Adnan meminta semua pihak bersama dengan penjawat awam bagi memastikan agenda pemulihan ekonomi dan usaha memutuskan rantaian penularan wabak dapat dilaksanakan dengan jaya.

“Berhentilah berbahas dengan isu yang sememangnya kita sudah ketahui fakta dan kebenarannya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here