Setia saya bersama Umno hingga ke hujung nyawa – Annuar Musa

0
2

Najamuddin Mohd Nor

SAYA tetap memperjuang dan mendukung perjuangan Umno sampai ke hujung nyawa, luah Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Sambil mempertahankan kesetiaannya kepada Umno yang mula dipertikaikan ketika ini, Annuar mencabar musuh politiknya untuk membuktikan dirinya telah berpaling tadah terhadap parti yang dianggotainya sejak sekian lama.

“Jangan mencabar kewibawaan saya tentang kesetiaan saya kepada parti. Belum tentu orang lain yang mencabar saya punya rekod lebih baik dalam kesetiaan daripada saya.

“Rekod ahli nombor 124, menjadi ahli Umno seumur hidup sejak 1978 hingga ke mari (hari ini), kalah berkali-kali, menang berkali-kali, berada dalam jemaah menteri dan di luar menteri, pernah ada pangkat, pernah duduk tanpa sebarang pangkat.

“Namun rekod saya ini mudah-mudahan hingga ke ahir hayat,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Ketereh, hari ini.

Sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan Februari tahun lalu, Menteri Wilayah Persekutuan itu berterusan diasak kawan mahu pun lawan yang melihat beliau terlalu condong mempertahankan parti sekutu PN, Bersatu.

Malah tindak tanduk Annuar itu telah disalah anggap sehingga muncul suara dalaman Umno yang mendesak supaya beliau dipecat.

“Maka sekarang ini, ada orang bertanya, Annuar Musa ni pro Bersatu kah? Annuar Musa ni selayaknya jadi Setiausaha Agung Bersatu, malah ada yang usulkan agar saya dipecat daripada parti.

“Saya ingin mencabar mereka, yang belum kenal perjuangan saya, yang telah menjadi ahli nombor 00124 daripada 3.4 juta, saya ahli Umno ke-124 yang bersama menghidupkan semula Umno,” kata Ketua Umno Bahagian Ketereh itu.

Tambah Annuar, kesetiaannya kepada Umno boleh dilihat pada rekod lampau yang tidak pernah gagal mendokong perjuangan parti itu dalam apa jua situasi.

“Rekod saya juga baik, saya tak taksub kepada individu. Saya pernah meninggalkan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) apabila dia meninggalkan parti.

“Saya saja satu-satunya anggota Kabinet Dr Mahathir (Mohamad), yang hari ini tak bersama dia, walaupun rakan Kabinet saya yang lain mengikutnya. Walaupun saya tak mungkin boleh melupakan jasa Dr Mahathir, tapi saya tidak taksub kepada individu,” katanya.

Sebagai orang lama dalam arena politik negara, Annuar mengakui telah masak dengan asam garam, pahit manis, liku kehidupan dan cabaran politik.

“Saya diuji berbagai-bagai, dituduh, difitnah, SPRM, LHDN, di dada media, nak dihalau negeri, nak dibuang negeri, apa yang saya tak lalui.

“Tapi itu tak bermakna saya akan menjadi pemimpin yang terhegeh-hegeh untuk mendapat apa juga jawatan dalam politik. Saya bukan orang yang akan merebut-rebut untuk mendapat apa-apa kedudukkan.

“Malah saya seharusnya bersyukur, Allah telah memberi lebih daripada yang selayaknya kepada saya. Menteri kampung sudah, menteri bandar sudah. Di atas sudah, di bawah sudah. Menang sudah kalah sudah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here