Masih ingat lagi dengan penyanyi jalanan bernada tinggi ini?

0
3

Nilam Oshman

SUATU ketika dulu wanita ini pernah mencuri perhatian apabila videonya menyanyikan lagu Standing In The Eyes Of The World di kaki lima gedung beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, tular di media sosial.

Wanita orang kurang upaya (OKU) itu dengan selamba menyanyikan lagu nada tinggi tanpa ‘suaranya pecah’ hingga mendapat pujian serta perhatian pelbagai pihak.

Penyanyi jalanan itu ialah Nurul Sakinah Teh Abdullah, bekas atlet OKU yang pernah mengharum nama negara dalam sukan renang kategori B2 (kecacatan penglihatan).

Pada Sukan Para 2003 di Vietnam, Nurul Sakinah, meraih dua pingat emas dan memecah rekod kejohanan dalam acara itu.

Selepas zaman kemuncaknya berlalu, wanita cekal berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini mencari rezeki dengan mengharap ihsan orang ramai sebagai penyanyi jalanan sejak beberapa tahun lalu.

Setiap hujung minggu, Nurul Sakinah, 45, yang separa buta sejak lahir melakukan aktiviti busking di kaki lima berhadapan Sogo dan Pertama Kompleks di ibu kota bagi mencari rezeki serta membesarkan dua anak lelaki berusia 11 dan 15 tahun.

Video Nurul Sakinah menyanyi di kaki lima Sogo pernah tular di media sosial

Ketika ditemui Malaysiapost baru-baru ini, Olahragawati Paralimpik Pulau Pinang 2012 itu mengakui pendapatan sebagai penyanyi jalanan tidaklah lumayan, namun cukup untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

Malangnya, pendapatan yang tidak seberapa itu tambah terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, disusuli kesan akibat penularan pandemik Covid-19 yang berterusan sehingga kini.

“Sebelum Covid-19, pendapatan tak menentu, tapi masih boleh bertahan. Sejak penularan wabak itu, pendapatan sangat teruk terjejas. Awal PKP, tak boleh kerja.

“Julai lalu baru mula balik busker bila kerajaan beri kelonggaran, namun tak ramai datang menonton seperti dulu. Pendapatan tu ada tapi tak seberapa, agak susahlah,” luahnya.

Nurul Sakinah bagaimanapun bersyukur kerana sepanjang PKP, dia menerima bantuan dari Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) dari segi barangan keperluan harian.

Selain Pertis, dia menerima elaun pekerjaan cacat melalui bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM400 setiap bulan.

Bagaimanapun, katanya, bantuan tersebut tidak mencukupi menyebabkannya perlu mencari pendapatan tambahan, khususnya bagi menampung bayaran sewa rumah.

“Bayar sewa rumah pun dah lebih RM400… sebab itulah saya pergi busking, dapatlah duit tambahan untuk buat belanja,” katanya.

Menceritakan bagaimana berulang-alik ke Sogo dari rumahnya di Petaling Jaya setiap hari, Nurul Sakinah berkata dia biasanya menumpang jiran atau menaiki teksi yang memerlukan kos tambang agak tinggi.

Sebelum mengakhiri bicara, ibu tunggal itu berharap, kerajaan membuka mata dan membantu bekas atlet paralimpik sepertinya dengan memberi pencen sebagai penghargaan penat lelah mereka yang pernah mengharumkan nama negara.

“Kalau boleh saya nak minta kerajaan bagi elaun pencen pada bekas atlet negara. Setakat ini tak ada apa-apa saya terima, sekurang-kurangnya bagilah elaun itu pada atlet yang pernah menang pingat emas.

“Bukan senang nak bawa balik emas untuk negara. Sebab saya menang emaslah saya berani minta,” katanya.

Nurul Sakinah pernah mewakili negara dalam Sukan Para Kuala Lumpur 2001, Sukan Para Asia Busan 2002, dan Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2006. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here