Tidak masuk akal batal HSR kerana landasan KL-JB sudah wujud – Anthony Loke

0
2

BEKAS Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan pembatalan Projek Kereta Api Laju (HSR) oleh kerajaan sebagai tidak masuk akal kerana jajaran antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru sudah ada.

Beliau berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa kerajaan akan mengkaji kemungkinan meneruskan projek HSR secara domestik sebagai tidak munasabah.

Katanya, jika jajaran yang dimaksudkan itu antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru, ia sesuatu yang tidak perlu diteruskan.

Menurutnya, Malaysia dan Singapura telah mengumumkan pagi tadi, bahawa Perjanjian Dua-Hala untuk Projek Kereta Api Laju (HSR) telah ditamatkan secara mutlak.

“Ia selepas cadangan kerajaan Malaysia untuk meminda struktur projek tersebut tidak dipersetujui oleh kerajaan Singapura.

“Mustapa akui kedudukan kewangan kerajaan pada masa kini tidak mampu menampung kos projek tersebut sekiranya mengikut cadangan asal yang ditandatangani pada tahun 2016,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Anthony Loke, kerajaan Malaysia perlu membayar pampasan kepada pihak Singapura.

Katanya, kerajaan mesti mengambil tindakan telus dan mengumumkan kepada rakyat jumlah pampasan perlu dibayar kepada Singapura serta jumlah keseluruhan kos dibelanjakan oleh Syarikat MyHSR yang ditanggung oleh wang pembayar cukai sejak tahun 2016.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semasa era Pakatan Harapan (PH), semua kos yang dibayar kepada Singapura susulan penangguhan projek HSR dan RTS diumumkan secara telus.

“Kerajaan PN hari ini tidak boleh menyembunyikan sebarang maklumat tersebut.

“Projek yang sedang dilaksanakan ialah membina landasan berkembar antara Gemas ke Johor Bahru melibatkan kos RM10 bilion. Projek ini dijangka siap pada tahun 2022,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, apabila siap, landasan berkembar sedia ada antara Padang Besar di utara menyambung terus ke Johor Bahru di selatan.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here