PH ‘move on’ dari Tun Mahathir – Akmal Nasir

0
2
SHAH ALAM, 16 Nov -- Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baharu Akmal Nasrullah Mohd Nasir berucap selepas dilantik sebagai Ketua AMK bagi sesi 2018/2021 pada Kongres Nasional AMK 2018 di Pusat Konvensyen Ideal hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir meminta Pakatan Harapan (PH) untuk bergerak ke hadapan tanpa perlu bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia susulan kenyataan bekas Perdana Menteri itu semalam yang mengkritik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal membuktikan dakwaannya pada September lalu, mempunyai majoriti “kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Akmal berkata, beliau mengkritik Mahathir kerana menjadikan acara untuk menerangkan hala tuju Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kepada “platform untuk menyerang Anwar”.

“Sikap Mahathir menunjukkan seolah-olah kewujudan Pejuang hanya untuk menafikan kewibawaan Anwar sebagai ketua pembangkang dan pengerusi PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berikutan desakan daripada parti komponen PH berhubung kerjasama dengan Mahathir, Anwar telah mengendurkan pendiriannya dengan mengatakan sanggup untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi prinsip PH diikuti.

Bagaimanapun, katanya, Mahathir memutuskan untuk menyerang Anwar dua hari kemudian.

“Mahathir sewajarnya bermuhasabah atas sikapnya yang sering berdolak-dalik terhadap janji yang telah disepakati menjelang PRU14.

“Kami juga merasakan telah tiba masanya untuk PH ‘move on’ daripada episod kerjasama dengan Mahathir.

“PH perlu sedar, penglibatan Mahathir yang cuba menunggang jenama ‘grand coalition’ hanya sekadar strategi pecah dan perintah yang sering dia gunakan, namun kali ini strategi itu sudah lapuk,” katanya.

Beliau menyatakan, amat tidak masuk akal sekiranya ulang siar strategi lapuk itu mampu memperdaya dan memecah belah kesepaduan dan kesepakatan PKR dan PH. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here