Polis terpalit rasuah akan dibuang kerja – KPN

0
2

PEGAWAI polis dan anggota bawahannya diingatkan supaya tidak sekali-kali berkompromi dengan pihak yang melakukan kesalahan jenayah, sehingga mangsa kes berkenaan tidak mendapat keadilan sewajarnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata beliau memberi amaran keras kepada pegawai dan anggota yang berkompromi dengan pelaku jenayah termasuk dikenakan tindakan buang kerja.

Katanya, perbuatan negatif itu wujud dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila segelintir pegawai dan anggota menerima habuan lumayan daripada pihak tertentu, bagi mengelakkan mereka didakwa atas kesalahan yang dilakukan.

Abdul Hamid berkata, masalah itu sekiranya tidak ditangani dari awal, dikhuatiri akan menjadi barah, sekaligus menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis.

“Saya mahu setiap pegawai polis kembali kepada fokus dan misi utama penugasan kita, iaitu melindungi orang yang teraniaya dan membantu menyelamatkan mereka yang berhadapan dengan situasi ancaman, bukan menyebelahi mereka yang melakukan jenayah, individu yang hendak ditangkap dan diburu.

“Disebabkan ada unsur ‘kaw tim’ atau menerima rasuah dari pelaku jenayah ini, orang yang menjadi mangsa kes tidak mendapat keadilan sewajarnya, malah dia tidak tahu pun perkembangan kesnya sehingga bertahun-tahun lamanya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata, pegawai dan anggota bawahan sudah diingatkan sejak awal supaya tidak berkompromi dalam kes yang disiasat bagi mengelakkan masyarakat menjadi mangsa kerakusan disebabkan rasuah.

“Janganlah kerana kita nak hidup dalam kemewahan, nak pakai kereta mahal, motosikal berkuasa tinggi, makan di hotel lima bintang serta bercuti di luar negara bersama keluarga dengan duit haram, kita sanggup mengetepikan jaminan keselamatan untuk orang ramai.

“Ingat, tugas kita memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, bukan demi kepentingan diri kita tidak mengambil peduli terhadap mereka yang menjadi mangsa, namun berkawan pula dengan suspek atau pelaku jenayah,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini pegawai penyiasat kes terutama membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sentiasa berada dalam pemerhatiannya bagi memastikan tiadanya unsur rasuah dalam setiap kes. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here