YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi mengingatkan ahli politik agar mengurangkan agenda politik demi mengekalkan dan memelihara kestabilan pentadbiran negara.
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bertitah meminta ahli politik memberi tumpuan membela kebajikan rakyat serta mengutamakan proses pemulihan ekonomi negara.
“Ahli-ahli politik disarankan untuk bersama berganding bahu dan memberi tumpuan membela kebajikan rakyat serta mengutamakan proses pemulihan ekonomi negara.
“Seharusnya, kita semua perlu sentiasa bermuhasabah untuk mengambil iktibar serta teladan daripada peristiwa dan cabaran yang telah dilalui pada tahun lalu untuk memperbaiki diri, keluarga, komuniti dan negara secara keseluruhannya,” titah baginda berdua dalam kenyataan dikeluarkan Istana Negara sempena ucapan Tahun Baru 2021.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata, Seri Paduka berdua juga turut mendoakan agar keamanan dalam negara dapat dikekalkan.
Beliau berkata, Seri Paduka berdua berharap keharmonian hubungan antara kaum, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan kehidupan rakyat Malaysia yang sentiasa berpegang pada prinsip rukun negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan berkekalan.
“Allah SWT sentiasa membantu orang-orang yang berusaha dan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan daya tahan yang jitu, kita mampu bersama menghadapi segala cabaran dan ujian,” katanya.
Ahmad Fadil berkata, baginda berdua turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar Malaysia sentiasa dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta dikurniakan perpaduan dan kemakmuran yang berkekalan.
Titah Seri Paduka, meskipun pelbagai badai melanda negara pada tahun ini, namun keamanan, keharmonian dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia mesti dikekalkan.
“Baginda berdua turut mengambil kesempatan menzahirkan rasa syukur dengan limpah kurniaNya, Malaysia sentiasa dirahmati dengan nikmat keamanan dan perpaduan walaupun dilanda pelbagai ujian.
“Baginda menyifatkan Ujian-ujian ini adalah sunnatullah bagi menguji hamba-hamba-Nya sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun. (Al-Mulk: 2), ” katanya.
Katanya, baginda berdua bertitah, penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia dan negara sejak dari awal tahun ini telah memaksa rakyat menjalani kehidupan harian di luar kebiasaan dalam pelbagai aspek.
Titah baginda, wabak ini juga bukan sahaja telah mengancam keselamatan diri, malah menjejaskan kesejahteraan ekonomi negara dan sosio-ekonomi rakyat.
Justeru, Seri Paduka Baginda berdua yang amat prihatin terhadap nasib rakyat, turut sama merasakan segala keperitan hidup rakyat, terutamanya golongan yang telah kehilangan orang tersayang mahupun punca pendapatan, akibat penularan wabak Covid-19.
Baginda berdua menzahirkan harapan agar rakyat terus bersabar dan cekal dalam mengharungi dugaan ini dan sentiasa berdoa supaya musibah yang menimpa pulih seperti sedia kala.
“Semoga dengan kehadiran vaksin Covid-19 pada awal tahun hadapan nanti akan dapat membantu melandaikan keluk pandemik dan memutuskan transmisi virus yang melanda negara sekian lamanya,” titah baginda.
Dengan perkembangan terkini kes positif Covid-19 yang masih tidak surut, Al Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong menasihati rakyat supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Baginda berdua turut mengambil kesempatan menzahirkan setinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan di atas pengorbanan yang telah dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak Covid-19 demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara. -Malaysiapost

